Tuesday, 29 July 2014

Waktu dan Jenis Makanan yang harus diambil apabila kita ingin bersenam.

Senaman dan makan sememangnya dua perkara yang seiringan. Sering timbul persoalan me­ngenai waktu yang sesuai untuk makan apabila kita ingin bersenam. 
Apabila kita ingin makan, timbul pula persoalan lain iaitu makanan jenis apa yang sesuai. Ini kerana, makanan yang diambil akan mempengaruhi prestasi kita. 

Justeru, artikel kali ini akan membincangkan serba sedikit mengenai waktu dan jenis makanan yang harus diambil apabila kita ingin bersenam.
Foto

Waktu 

Waktu anda bersenam memainkan peranan penting kerana ia menentukan jenis makanan yang harus anda ambil sebelum atau selepas senaman. Kebiasaannya, makanan yang diambil selepas senaman sama saja. 

Anda memerlukan makanan yang mengandungi protein seperti telur rebus dan segelas susu coklat kerana ia penting untuk pemulihan dan pertumbuhan otot badan anda. 

Kuantiti protein yang perlu diambil pula tidaklah terlalu banyak iaitu hanya sekitar 10 hingga 20 gram dan boleh diambil sebaik saja anda selesai bersenam. 


Jenis makanan 

Bagi menentukan makanan yang perlu diambil sebelum bersenam, anda perlu melihat waktu anda ingin memulakan senaman. 


Pagi 

Sekiranya anda ingin memulakan senaman pada awal pagi, anda memerlukan makanan yang mempunyai kandungan karbohidrat yang tinggi. Makanan seperti bijirin, roti dan sayuran segar antara contoh yang sangat sesuai. 

Hindari makanan yang mengandu­ ngi serat dan fruktosa yang tinggi seperti buah-buahan kerana boleh menyebabkan anda mengalami cirit-birit selepas bersenam. 

Sekiranya anda bersenam selepas mengambil sarapan yang berat, pastikan jarak masa antara sarapan dan senaman anda sekitar dua hingga tiga jam. Ini untuk mengelakkan anda daripada mengalami kekejangan, sakit perut dan juga cirit-birit. 


Tengah hari 

Apabila anda memilih untuk bersenam pada waktu tengah hari (misalnya sekitar jam 1 tengah hari hingga 3 petang), anda tidak perlu mengambil sebarang makanan selagi anda sudah bersarapan atau makan tengah hari. Mungkin anda hanya perlu minum sedikit air untuk mengelakkan tubuh anda daripada terhidrat. 


Petang 

Jika anda bersenam lewat petang, makanan ­ringan seperti yogurt atau roti sudah memadai. Ini kerana jarak senaman anda dari waktu makan tengah hari sudah agak jauh. Jadi anda memerlukan makanan daripada karbohidrat untuk membekalkan tenaga. 


Malam 

Bagi mereka yang suka bersenam pada waktu malam dan jika anda bersenam selepas makan malam, anda perlu menjarakkan masa antara waktu makan dan senaman, bergantung kepada makanan yang anda ambil. 

Jika anda mengambil terlalu banyak makanan atau makanan yang berat, anda memerlukan masa yang lebih lama sebelum memulakan senaman. 

Kesimpulannya, makan sebelum atau selepas bersenam, kedua-duanya mempengaruhi prestasi senaman dan prestasi tubuh badan anda berfungsi. 

Ingat! Jangan bersenam dalam kadar segera selepas mengambil makanan yang berat atau dalam kuantiti yang ba­nyak. Minum ba­nyak air dan jalani kehidupan yang sihat!

No comments:

Post a Comment